Archive for March, 2009

Dunia bergelap demi Earth Hour

0, March 19, 2009
Posted by hazone

Sana-sini kita sering terdengar mengenai isu perubahan iklim akibat fenomena pemanasan global. Namun apakah sumbangan kita sebagai penduduk bumi bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, penyebab utama fenomena pemanasan global ini?

Sebenarnya sesiapa saja boleh membantu mengurangkan pelepasan gas tersebut. Malah banyak perkara yang mudah dilakukan dalam kehidupan harian seperti mengurangkan penggunaan atau mematikan terus peralatan elektrik yang tidak diperlukan atau penggunaan mentol jenis jimat tenaga serta lain-lain sumber tenaga yang lebih bersih.

Keprihatinan warga Malaysia terhadap perubahan iklim dan isu kepupusan sumber tenaga terbukti tahun lepas apabila kita menjadi salah satu negara paling ramai menawarkan diri untuk bergelap bersama dunia sempena acara Earth Hour 2008.

Acara kesedaran alam sekitar itu kini dianjurkan secara berkala setiap tahun dan dipromosikan secara besar-besaran oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Tahun lepas berpuluh-puluh monumen ikon dunia termasuk Opera House di Sydney, jambatan San Francisco malah tidak ketinggalan seluruh kampus Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyahut cabaran untuk bergelap selama satu jam.

Tahun ini, hari Earth Hour 2009 akan berlangsung pada hari Sabtu terakhir bulan ini iaitu 28 Mac serta bakal dijayakan oleh sekurang-kurangnya 75 negara.

Earth Hour tahun ini turut disokong oleh stesen televisyen tempatan, 8TV, stesen radio Hot FM dan beberapa mercu tanda negara termasuk Menara Kuala Lumpur (KL Tower), Angkasapuri, Sunway Pyramid dan Mid Valley Megamall.

Justeru, tanpa mengira agama dan warna kulit, mari kita sebagai warga dunia bersatu-padu memadamkan semua lampu atau perkakas elektrik yang tidak diperlukan pada hari tersebut selama satu jam bermula pukul 8.30 malam demi menyokong penjimatan sumber tenaga yang kian nadir.

Layari laman web www.earthhour.org untuk maklumat lanjut.

Wanita Filipina tertarik dengan solat

0, March 19, 2009
Posted by hazone

BERBICARA soal agama, wanita kelahiran Filipina, Melissa Perez, selama ini hanya mengetahui bahawa di dunia ini, cuma satu agama sahaja yang wujud, iaitu agama Kristian.

Tidak seorang pun daripada ahli keluarganya tahu tentang kewujudan agama Islam. Sebabnya mereka tidak pernah terdedah, apa lagi diajarkan mengenai agama tersebut.

Malah akui Melissa, agama-agama lain tidak sehebat atau setanding dengan agama anutan yang diwarisi sejak turun temurun itu. Baginya, orang Islam itu adalah pembunuh kerana mereka sanggup menyembelih orang yang di sekeliling mereka apabila mereka marah. Itulah yang difahami Melissa menerusi cerita-cerita yang disampaikan oleh ibunya.

Ditambah pula, di tempat dia dibesarkan, jarang kelihatan orang Islam bergaul dengan orang Kristian. Malah kebiasaannya orang Kristian tidak ada yang berjiran mahupun berkawan dengan orang Islam.

Boleh dikatakan tidak wujud satu hubungan di antara dua agama ini, sebab itulah masing-masing mempunyai komuniti mereka tersendiri. Sehingga kini pun, kata Melissa, orang Islam asyik berperang dan bertelagah dengan kerajaan Filipina mendesak agar diberikan satu wilayah yang merdeka untuk mereka mentadbirnya sendiri.

Melissa dilahirkan dalam keluarga yang kuat kepatuhan dan pengamal setia tradisi Katholik. Hakikatnya keseluruhan keluarganya sejak generasi ke generasi malah jiran dan sahabatnya adalah mereka yang seagama.

Sungguhpun mereka percaya dengan satu tuhan, tetapi ‘Tuhan Yang Satu’ itu ada ketikanya dipanggil Nabi Isa dan pada masa yang lain juga di panggil Bapa. Ia agak mengelirukan Melissa.

Sedari muda, Melissa sudah belajar hidup berdikari. Kehidupannya pada masa itu, amat perit dan penuh pancaroba. Ditambah dengan perceraian ibu bapanya, Melissa dan ibu terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Keperitan hidup itulah menjadikan Melissa seorang gadis yang tabah sehinggakan pada usianya 18 tahun dia bersama ibunya sanggup bekerja di luar negara dengan matlamat memiliki rumah sendiri di Filipina, suatu hari nanti. Berkat usaha dan tidak kenal putus asa, akhirnya, pada usia 23 tahun impian dua beranak ini tercapai jua.

Menceritakan pengalaman bergelar perantau, Melissa mengakui sejak mencari rezeki di negara orang, dia mula terdedah dengan pelbagai budaya, tradisi, kepercayaan dan perbezaan cara hidup serta membina kenalan baru. Semuanya ternyata jauh berbeza dengan cara bagaimana dia dibesarkan.

Ketika di negeri orang inilah Melissa menjalani kehidupan yang serba bebas sehingga membawa kepada perlakuan maksiat dan melakukan dosa.

Pun begitu, pada usia 29 tahun, Melissa berhasrat memulakan hidup berkeluarga. Perkenalan dengan seorang lelaki dari Mesir menerusi Internet telah membina bibit-bibit cinta antara mereka.

Berborak menerusi laman sembang hanya berlarutan selama dua bulan sebelum Melissa mengambil keputusan terbang ke Mesir untuk bertemu dengan jejaka yang mencuri hatinya itu. Kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Melissa akhirnya menerima lamaran si jejaka.

Pada peringkat awal perkahwinan, dia agak bingung dengan ikatan kerana berbeza agama. Bagaimana harus dihadapi situasi ini?

“Namun apabila diyakinkan bahawa mereka boleh bersatu, saya terima pandangan suami. Bagaimanakah reaksi keluarga? Sekali lagi saya di dalam dilema, apa lagi bila mereka mengetahui yang saya berkahwin dengan pemuda Islam yang baru dikenali dua bulan.

“Saya ini jenis yang tidak akan berpatah balik apabila sudah membuat keputusan. Jadi, walau apa yang menghalang, saya tetap dengan keputusan yang dibuat. Saya percaya tuhan sentiasa bersama saya kerana selama ini kepada-Nya saya berserah.

“Saya berkahwin di Mesir dan kemudian kami berpindah ke Hong Kong untuk memulakan kehidupan baru. Pada awal penghijrahan, suami mengalami kejutan budaya memandangkan itulah pengalaman pertama keluar dari tanah kelahiran,” kongsi Melissa di laman web IslamOnline.net.

Oleh kerana sudah terbiasa menghadirkan diri ke gereja pada setiap Ahad, Melissa pernah mengajak suaminya ikut serta. Suaminya tidak keberatan malah pernah juga membantunya dengan aktiviti gereja.

Pernah suatu ketika, suami Melissa memberitahu yang dia hendak kembali mempraktikkan agama Islam yang selama ini menjadi pegangan dan kepercayaannya. Dia mula belajar dan mempraktikkan ajaran Islam. Dia mula sembahyang dan berpuasa.

Itulah pertama kali dalam hidupnya Melissa memerhatikan cara umat Islam mengagungkan tuhan mereka. Pada masa yang sama, suaminya mula mengikuti kelas-kelas pengajian Islam, memperbanyakan membaca berkaitan Islam dan ilmu yang diperoleh itu dipanjangkan kepada Melissa.

“Pada awalnya saya meluat mendengarnya kerana saya lebih agungkan Nabi Isa. Namun apabila saya mengetahui bahawa orang Islam juga mencintai Nabi Isa, saya mula belajar tentang Islam dan seterusnya memperoleh banyak maklumat mengenai ajaran Islam.

“Apa yang begitu menyentuh saya ialah melihat umat Islam solat terutamanya ketika sujud. Ia bagaikan menyedarkan saya bahawa itulah cara yang betul menunjukkan ketaatan kepada Allah iaitu dengan rukuk dan sujud. Itulah sewajarnya hak Allah.

“Saya teringin melakukan solat sedemikian rupa tetapi masih tidak yakin untuk bertukar kepada agama Islam. Ketika kami pulang ke Filipina, saya ada ajukan pertanyaan kepada suami bolehkah dia bersolat bersama tanpa perlu menjadi Muslim?,” katanya lagi.

Solat

Akui Melissa, setelah beberapa kali solat cara orang Islam, dia menyukainya cuma agak keberatan apabila mengetahui ia wajib dilaksanakan lima kali sehari selain melaksanakan amalan wajib yang lain. Bab bertudung juga menjadi satu hal yang membebankan Melissa. Apa lagi, dia tidak mengetahui langsung siapakah pula gerangannya Nabi Muhammad itu.

Melissa diberitahu oleh suaminya bahawa dia boleh belajar secara perlahan-lahan. Tidak perlu memaksa diri mempelajari semuanya dalam tempoh sehari semalam. Malah dia juga tidak bertudung selagi belum bersedia serta mengetahui hikmah di sebaliknya.

Walaupun suami Melissa tidak mendesaknya agar segera bersyahadah, namun dia sentiasa berpesan kepadanya jangan melengah-lengahkan perkara yang baik kerana kita tidak tahu bila nyawa diambil Tuhan.

“Pada suatu hari saya mendegar ceramah agama bertajuk ‘Matlamat Kehidupan’ oleh Sheikh Khalid Yasin. Satu persoalan yang dikemukakan penceramah iaitu mengapa kita tidak boleh mengakui Allah dan Muhammad adalah pesuruh-Nya. Adakah kita angkuh atau bongkak?” kata Melissa.

Sebaik mendengar ungkapan di atas, hati Melissa terbuka untuk bergelar Muslim dan tidak mahu dianggap seorang yang bersifat bongkak. Akhirnya, selepas tamat mendengar rakaman ceramah itu, Melissa mengucap dua kalimah syahadah.

Pembelajaran Melissa mengenai Islam berterusan sehingga sekarang. Hakikatnya, tidak ada penghujung dalam kita menuntut ilmu. Bak kata pepatah Arab, “Carilah ilmu dari dalam buaian hinggalah ke liang lahat”.

Membaca buku

Sebaik diri bergelar Muslim, Melissa ada membaca buku karangan Abdul Malik LeBlanc berjudul, The Bible Led Me To Islam. Buku itu memberinya inspirasi dan membuka minda bahawa Allah itu Esa dan Nabi Isa itu adalah salah seorang rasul Allah.

Malah buku kecil yang berjudul The Gift of Muhammad, sentiasa menjadi ilham dan penunjuk untuk mengenali Baginda SAW. Sepotong kata-kata Baginda yang berbunyi Jika engkau datang kepadaku berjalan, aku akan datang kepadanya berlari. (riwayat Bukhari) Menakjubkan bukan?

Bila menyentuh kewajipan menutup aurat terutamanya dalam pemakaian tudung, Melissa mengakui ia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi setelah 30 tahun selesa dengan pakaian moden dan mengikut trend. Paling merisaukan Melissa ialah tanggapan dan pandangan kenalan apabila perubahannya berpakaian.

Namun, apabila menyoal kembali Allah atau orang? Jawapannya tentu Allah. Sejak itu dia tekad bertudung bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah yang telah mengkabulkan segala yang saya pohon selama ini.

Alhamdulillah, beberapa bulan selepas melafazkan syahadah, kurniaan Allah tidak putus-putus apabila dapat berpeluang mengerjakan haji di Mekah. Berada di sana mengukuhkan lagi kepercayaannya kepada Allah dan Melissa tahu bahawa dia berada di landasan yang betul serta diredai Allah.

“Tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan kegembiraan di hati ini. Malah sebaik melangkahkan kaki ke masjid suci, Masjidil Haram dan menyaksikan Kaabah, air mata kegembiraan mengalir laju. Saya berasa cukup tenang saat itu.

“Hari demi hari, kehidupan saya terus berubah kepada lebih baik. Akhirnya saya temui ketenangan yang dicari selama ini,” jelasnya.

-Utusan-

Pengislaman Abu Darda’

0, March 18, 2009
Posted by hazone

WAHAI orang-orang beriman, masuklah ke dalam agama Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata. (al-Baqarah: 208)

ABU Darda’ merupakan seorang seorang lelaki yang kuat mengamalkan ajaran menyembah berhala. Beliau menyerahkan semua urusan di tangan berhalanya itu. Dia amat bergantung kepada berhala di rumahnya apabila ingin membuat keputusan. Kepala berhala akan dibungkuskan dengan secebis kain yang kemudiannya diletakkan di dalam sebuah bilik khas. Bilik itu dijadikan Abu Darda’ sebagai bilik penyembahan.

Abdullah bin Rawahah merupakan sahabat baik Abu Darda’. Malah lelaki itu sudah dianggap saudaranya. Mereka saling mengenali ketika zaman jahiliah lagi. Abdullah terlebih dahulu memeluk agama Islam.

Oleh sebab itu, dia sering ke rumah Abu Darda dan mengajak sahabatnya itu memeluk agama Islam, namun Abu Darda’ sering kali menolak. Dia memberi alasan bahawa dia belum bersedia lagi hendak meninggalkan agama nenek moyangnya itu.

Pada suatu hari, Abdullah pergi ke rumah Abu Darda’. Beliau tidak masuk ke dalam rumah dan menemui Abu Darda’. Sebaliknya beliau bersembunyi dan menunggu sehingga Abu Darda’ keluar. Abdullah lalu masuk ke dalam rumah Abu Darda’. Dia merapati isteri Abu Darda; yang sedang menyikat rambut.

“Di mana Abu Darda?” Abdullah berpura-pura bertanya kepada wanita itu.

“Oh, dia baru saja keluar. Ada urusan,” maklum isteri Abu Darda’.

Apabila isteri Abu Darda’ tidak melihatnya, Abdullah bagaikan pencuri segera memasuki bilik penyembahan Abu Darda’. Abdullah mengambil kapak yang tersimpan di dalam bilik itu lalu menghampiri berhala milik Abu Darda’ yang amat disayanginya itu. Kapak itu diangkat setinggi-tingginya lalu dengan deras Abdullah menghayun kapak itu ke arah berhala Abu Darda’.

“Ingatlah, segala apa yang disembah selain Allah adalah tidak benar. Bodoh!” kutuk Abdullah sambil terus memecahkan berhala itu. Berhala itu berkecai-kecai dalam masa yang singkat sahaja. Abdullah terus mengutuk berhala itu.

Isteri Abu Darda’ yang sedang menyikat rambutnya terkejut. Dia mendengar bunyi bising dari dalam bilik berhala. Dia pun segera menuju ke bilik itu. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, dia terkejut melihat berhala suaminya sudah hancur berkecai ke atas lantai. Abdullah kelihatan masih lagi menghayun kapaknya.

“Eh, Abdullah! Apa yang engkau lakukan ini?” tanya isteri Abu Darda’. “Matilah aku kalau Abu Darda’ melihatnya nanti.”

Abdullah tidak menjawab. Dia segera keluar dan melarikan diri dari rumah itu. Apabila Abu Darda’ pulang ke rumah, dia terus menuju ke bilik berhalanya. Alangkah terkejutnya Abu Darda’ apabila melihat berhala yang selalu disembahnya sudah hancur. Tidak ada apa-apa pun yang tertinggal.

“Siapa yang pecahkan berhalaku?” tanya Abu Darda’ kepada isterinya. Dia menengking isterinya kerana menyangkakan wanita itu yang memecahkannya.

“Bukan saya yang pecahkan berhala itu,” jawab isteri Abu Darda’ sambil menangis teresak-esak. Dia sesal kerana Abdullah telah memecahkan tuhan mereka itu. Pasti tuhan mereka itu akan murka nanti.

“Kalau bukan kau yang pecahkan, siapa dia yang kurang ajar ini?” soal Abu Darda’ lagi.

“Abdullah, saudara itu,” jawab isterinya.

“Abdullah? Tapi kenapa?” soal Abu Darda’ lagi.

“Saya tidak tahu. Saya pun tidak menyangka dia akan berbuat begitu. Dia datang bertanya sama ada kau ada atau tidak. Saya pun tidak perasan bila dia masuk ke dalam bilik penyembahan dan memecahkan tuhan kita itu,” jawab isterinya lagi.

Abu Darda’ berasa amat marah kepada Abdullah. Ini adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan sama sekali. Namun, tiba-tiba Abu Darda’ terdiam. Amarahnya perlahan-lahan menurun. Dia memandang berhalanya yang sudah berkecai itu.

“Kenapa tuhan ku ini mendiamkan diri saja bila Abdullah memusnahkannya? Kenapa dia tidak mempertahankan diri dan bertindak balas? Bagaimana dia mahu melindungi kami jika dirinya sendiri pun dia tidak mampu melindungi,” fikir Abu Darda’ di dalam hatinya.

Mulai hari itu, Abu Darda’ selalu memikirkan persoalan itu. Akhirnya, Abu Darda’ berjumpa Abdullah dan memberitahu keinginannya untuk memeluk agama Islam. Abdullah pun membawa sahabatnya itu berjumpa dengan Rasulullah. Di hadapan Rasulullah, Abu Darda’ memeluk agama Islam dengan hati yang ikhlas.

- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

inteam – Allahu Rabbi

0, March 18, 2009
Posted by hazone

Album terbaru dari in-team telah pun berada dipasaran. Dapatkan yang original!!!

  • Track 1 Allahu Rabbi
  • Track 2 Hamzah Asadullah
  • Track 3 Hanya Takdir
  • Track 4 Dia Muhammad
  • Track 5 Kepastian
  • Track 6 Kemuliaan Al-Quran
  • Track 7 Asy-Syafie
  • Track 8 Redha
  • Track 9 Asma Allah
  • Track 10 Kasih Sayang

Untuk pra-dengar sila ke alamat di bawah:

http://inteammobile.com/shop/index.p…d&productId=72

Unic – Langkah Tercipta

0, March 18, 2009
Posted by hazone

Album Kompilasi UNIC yang di tunggu-tunggu telah pun berada di pasaran sekarang!!!
Terdapat 4 buah lagu baru. Juga menampilkan ahli terbaru UNIC iaitu saudara Fakhrul Radhi bekas anggota kumpulan Zulfan dan juga Juara Akademi Al-Quran musim ke 3

4 buah lagu baru :

  1. Jalan Pulangku
  2. Bicara Tentang Cinta
  3. Hanyut
  4. Langkah Tercipta

::LANGKAH TERCIPTA::

Semalam aku kelukaan

kecewa kehampaan

Mencalar ketabahan

Mimpi yang sering ku harapkan

Menjadi kenyataan

Namun tak kesampaian

Allah…

Ingin ku hentikan

Langkah ini

Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan

Semangat tenggelam

Lemah daya

Haruskah aku mengalah

Namun jiwaku berbisik

Inilah dugaan

Dan mataku kini terbuka

Pada hikmah dugaan

Uji keimanan

Tak dilontarkanNya ujian

Di luar kekuatan

Setiap diri insan

Allah…

Pimpinlah diriku

Tuk bangkit semula

Meneruskan langkah

Perjuangan ini

Cekalkan hati dan semangatku

Kurniakanlah ketabahan

Agar mimpi jadi nyata

PadaMu ku meminta

Daku mohon agung kudratMu

WahaT tuhan yang satu

Segalanya dariMu

Lagu : Bazli

Lirik : Bazli & Atie

Salam Maulidur Rasul 1430H

0, March 6, 2009
Posted by hazone

TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.

Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi. Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.
Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.

Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh.

Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul?

Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda.

Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini. Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)…” (Surah al-Taubah: 24)

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

  • Mentauhidkan Allah – Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.
  • “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl: 36)
  • Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
  • Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya – Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam.
  • Ibnu Mas’ud berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (Huquq al-Nabi)
  • Mentaati sunnah Nabi s.a.w – Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.
  • Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia.
  • “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab: 21)
  • Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w – Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: “Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Sentiasa memuji dan mengingatinya – Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.
  • Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.
  • Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w – “Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh.” (Hadis riwayat Muslim)
  • Benci orang dibenci Nabi s.a.w – Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.
  • Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik – “Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

sumber : metro